Sepanyol Juara Eropah

Sepanyol Juara Eropah

Sepanyol takluk Eropah

Sepanyol takluk Eropah
pemain-pemain Sepanyol menjulang trofi kejuaraan selepas menewaskan Jerman 1-0 pada perlawanan akhir bola sepak Euro 2008 di Vienna, Austria, semalam.- AP
VIENNA - Pasukan terbaik menjuarai Kejohanan Eropah dan ia milik Sepanyol, semalam.
Sepanyol menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan akhir itu, melakukan banyak percubaan dan mengawal permainan lebih baik berbanding lawannya untuk merangkul gelaran pertama dalam tempoh 44 tahun selepas menundukkan Jerman 1-0.
"Ia bukan saja bagus untuk Sepanyol, malah bagus untuk bola sepak kerana pasukan terbaik kejohanan telah memenangi kejuaraan,'' kata Fernando Torres, penjaring gol tunggal Sepanyol ketika menundukkan Jerman.
Skuad 'Red Fury' merangkul kejuaraan Eropah kedua mereka menerusi permainan bijak, berbakat serta kesungguhan tinggi untuk menamatkan kemarau 44 tahun.
Sepanyol mungkin tidak memiliki deretan trofi besar berbanding Jerman atau Itali tetapi aksi gemilang mereka dalam saingan akhir Euro 2008, begitu memukau.
"Ini adalah hari gembira buat Sepanyol, menjuarai Kejohanan Eropah dan melakukannya dengan cara yang sangat bijak.
"Sekarang kami sudah boleh bercakap tentang memenangi kejuaraan Eropah sekali lagi, malah memenangi kejuaraan yang lain,'' kata jurulatih Sepanyol, Luis Aragones.
Sepanyol tampil dengan aksi kurang meyakinkan pada saingan awal kelayakan Euro 2008 apabila kalah kepada Ireland Utara dan Sweden tetapi bangkit dengan lapan kemenangan dan satu seri untuk muncul juara kumpulan.
Kebangkitan pasukan itu diteruskan di pusingan akhir, yang mana mereka mencatat tiga kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan, sebelum menyingkirkan Itali menerusi penentuan sepakan penalti di suku akhir.
Menentang Itali adalah ujian terbesar buat pasukan itu, malah ia satu-satunya perlawanan yang menyaksikan mereka gagal membolosi pintu gol lawan selepas tamat masa penuh permainan.
Sejak menumbangkan juara Piala Dunia itu, keyakinan diri setiap pemain Sepanyol naik dengan mendadak, ia jelas ditunjukkan ketika mereka membenam Rusia 3-0 di separuh akhir.
Rusia, pasukan paling muda pada kejohanan ini dengan kegemarannya suka menyerang dianggap calon pilihan untuk menundukkan Sepanyol ketika itu selepas mengejutkan Belanda 3-1 di suku akhir.
Namun, barisan berbakat Sepanyol yang merupakan skuad kedua termuda di Euro 2008, tenang menangani perlawanan. Meskipun beraksi tanpa penyerang utama, David Villa pada saingan akhir, mereka masih mampu mencipta banyak percubaan.
Villa yang mengalami kecederaan paha ketika mengambil sepakan percuma dalam pertemuan menentang Rusia merupakan penjaring terbanyak Euro 2008 dengan empat gol.
"Sepanyol bermain dengan amat baik sepanjang kejohanan dengan permainan teknikal yang amat hebat. Mereka berhak memenangi perlawanan ini,'' akui jurulatih Jerman, Joachim Loew.
Loew berkata, Sepanyol beraksi konsisten sepanjang kejohanan, memiliki teknik permainan hebat dan pemain berkualiti.
"Pemain-pemain mereka sudah biasa beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah, jadi tidak hairanlah kalau mereka memiliki kualiti permainan yang amat baik,'' kata Loew.
Kemenangan semalam juga membolehkan Sepanyol melebarkan rekod tanpa kalah kepada 22 perlawanan, sekali gus memberi penamat terbaik buat Aragones, yang akan meninggalkan skuad kebangsaan selepas ini.
Pemain Sepanyol yang gembira menjulang jurulatih veteran itu ke udara sejurus wisel penamat ditiupkan, manakala peminat Sepanyol menari serta melompat riang di Stadium Ernst Happel, Vienna.
"Saya sangat gembira. Biasanya saya tidak menunjukkan perasaan sebenar saya, tetapi hari ini saya amat.. amat gembira dan mahu berkongsinya dengan anda.
"Jerman merupakan sebuah pasukan yang rumit untuk ditentang kerana pertahanan mereka amat mantap tetapi kami juga mempunyai kumpulan pemain yang sangat baik dan mereka berjaya mengimbangi keadaan itu dan merubah skrip perlawanan,'' katanya.
Ini merupakan penampilan ketiga Sepanyol dalam babak final Kejohanan Eropah selepas menang ke atas Kesatuan Soviet pada 1964 dan tewas 0-2 di tangan Perancis, 20 tahun kemudian.
- AP

Jerman vs Turkey

Jerman vs Turkey
SEPAKAN pemain Jerman, Philipp Lahm (kiri) berjaya membolosi gawang Turki selepas gagal dihalang penjaga golnya, Rustu Recber dalam perlawanan separuh akhir Euro 2008 di Basel, kelmarin. Jerman menang 3-2 untuk mara ke perlawanan akhir awal pagi Isnin ini.- AP

Lahm lega julang Jerman

SEPAKAN pemain Jerman, Philipp Lahm (kiri) berjaya membolosi gawang Turki selepas gagal dihalang penjaga golnya, Rustu Recber dalam perlawanan separuh akhir Euro 2008 di Basel, kelmarin. Jerman menang 3-2 untuk mara ke perlawanan akhir awal pagi Isnin ini.- AP
BASEL, Switzerland - Pemain pertahanan Jerman, Philipp Lahm berkata, dia begitu lega dan gembira selepas berakhirnya perlawanan separuh akhir kelmarin kerana melakukan kesilapan awal.
Bagaimanapun Lahm muncul wira Jerman apabila menjaringkan gol minit-90 untuk membantu Jerman mencatat kemenangan 3-2 yang mendebarkan.
Kemenangan itu sekali gus membawa juara tiga kali itu ke final Euro 2008, Ahad ini.
Pemain pertahanan itu melakukan kesilapan bodoh apabila membenarkan Turki memperoleh gol kedua.
"Ia merupakan perlawanan yang sangat penting kerana kami sudah berada di peringkat separuh akhir kejohanan.
"Saya mendapat hantaran baik dan melakukan jaringan dengan sempurna. Jaringan itu telah memecahkan emosi dan kamu boleh menyaksikannya di kalangan pemain.
"Pegawai-pegawai memeluk sesama sendiri dan ia menjadi contoh unggul semangat berpasukan. Ia tidak dapat digambarkan dengan perkataan," kata Lahm.
Seperti yang dikatakan olehnya sebelum ini, dia berasa gusar dengan kesilapannya membiarkan Semih Senturk menjaringkan gol penyamaan, 2-2.
"Saya menyedari menjadi sebahagian daripada kesilapan gol kedua Turki itu. Saya berada di tahap yang rendah dalam perlawanan tersebut.
"Namun begitu, saya masih beraksi dengan baik dalam beberapa perlawanan sepanjang kejohanan ini.
"Beraksi di separuh akhir adalah sesuatu yang istimewa dan sentiasa mengundang aksi persaingan yang hebat.
"Kami tidak bermain dengan baik seperti yang diinginkan, tetapi berjaya melepasi perlawanan tersebut," katanya selepas Jerman berjaya menempah pusingan akhir keenam mereka.
"Kami begitu teruja. Kami tersingkir di pusingan separuh akhir Piala Dunia 2006. Jadi, kemenangan ini begitu hebat.
"Skuad Jerman kini bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pasukan dan matlamat kami adalah untuk menjulang trofi," kata Lahm.
Jurulatih Jerman, Joachim Loew berkata, anak didiknya itu 'sukar mempercayai mencapai kepuasan' untuk memenangi pusingan separuh akhir.
"Ia merupakan satu kebanggaan. Semua pemain keletihan. Perlawanan itu merupakan persaingan yang hebat kerana mempunyai banyak drama dan gol-gol minit akhir.
"Adalah bagus meskipun pihak lawan mendapat gol penyamaan. Kami berusaha keras bagi mendapatkan gol ketiga dan ia sesungguhnya mendebarkan.
"Skuad ini mempunyai jurang di bahagian tengah dan pemain Turki mengambil kesempatan itu untuk mengusai bahagian posisi tersebut.
"Penyerang kedua seharusnya bertindak baik bagi menghasilkan banyak peluang. Namun begitu, kami telah mengorbankan banyak ruang di bahagian tengah," akui jurulatih Jerman, Loew.
Loew bagaimanapun berkata, semua pasukan dari negara lain akan berasa takut untuk bertemu 'Die Mannschaft' yang bermakna skuad Jerman beberapa dekad lalu sukar untuk ditewaskan, biarpun tidak beraksi dengan baik.
"Malam ini (kelmarin), kami telah menunjukkan mentaliti kemenangan dan adalah sukar untuk menyerap gol penyamaan di minit akhir. Turki telah melakukan perkara yang sama sebanyak tiga kali sebelum ini.
"Tetapi, kami berjaya mendahului perlawanan semula dan menunjukkan mentaliti kemenangan yang kami miliki. Semua perkara tersebut amat diperlukan oleh kami untuk memenangi perlawanan tersebut," kata Loew.
- AFP

Sepanyol vs Italy

Sepanyol vs Italy
PEMAIN Sepanyol, Cesc Fabregas (kanan) berjaya melakukan sepakan penalti terakhir untuk memenangi persaingan suku akhir Euro 2008 melepasi penjaga gawang Itali, Gianluigi Buffon di Stadium Ernst Happel kelmarin. Sepanyol mengalahkan Itali 4-2 untuk melangkah ke separuh akhir bertemu Rusia, Jumaat ini. - AFP

Sepanyol tunjuk belang

Sepanyol tunjuk belang
PEMAIN Sepanyol, Cesc Fabregas (kanan) berjaya melakukan sepakan penalti terakhir untuk memenangi persaingan suku akhir Euro 2008 melepasi penjaga gawang Itali, Gianluigi Buffon di Stadium Ernst Happel kelmarin. Sepanyol mengalahkan Itali 4-2 untuk melangkah ke separuh akhir bertemu Rusia, Jumaat ini. - AFP
VIENNA, Austria - Sepanyol akhirnya menunjukkan belang pada perlawanan suku akhir Euro 2008 dengan mengalahkan Itali untuk menamatkan badi kekurangan kejayaan di kejohanan besar, kelmarin.
Sepanyol dilihat begitu gementar untuk memenangi perlawanan itu menerusi penentuan sepakan penalti, setelah tiga kali tewas di peringkat suku akhir kejohanan besar melalui penentuan tersebut.
"Kami seringkali bercakap mengenai kegagalan melepasi pusingan suku akhir. Tetapi, kami kini di separuh akhir.
"Saya begitu gembira untuk negara dan semua pemain saya... dan yang lebih penting ialah kegembiraan kepada diri sendiri kerana ia melibatkan profesion saya. Kemenangan ini begitu indah," kata jurulatih Sepanyol, Luis Aragones.
Sepanyol tewas dalam penentuan tendangan penalti kepada tiga buah negara iaitu Belgium di Piala Dunia 1986, England di Euro 1996 dan Korea Selatan di Piala Dunia 2002. Kesemua kekalahan itu adalah di peringkat suku akhir.
Sebelum perlawanan tersebut, pasukan 'Seleccion' itu tidak pernah melepasi peringkat suku akhir di kejohanan besar sejak 1984, apabila layak ke final Kejuaraan Eropah tetapi tewas kepada Perancis.
Kejayaan Sepanyol ke atas juara Piala Dunia, Itali di Vienna itu meleburkan rekod kemegahan Itali di peringkat antarabangsa iaitu tidak dapat ditewaskan pada perlawanan kompetitif di luar kejohanan Olimpik.
Pemain tengah Sepanyol yang beraksi untuk Arsenal, Cesc Fabregas berkata, dia berada dalam keadaan tenang untuk mengambil sepakan penalti terakhir Sepanyol bagi menentukan kejuaraan.
"Kami berlatih mengambil sepakan penalti semalam (Sabtu) dan sesi latihan berjalan dengan baik. Saya harus melakukan satu sepakan yang muktamad. Tetapi, ia mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja," kata Fabregas.
Biarpun Aragones mengatakan bahawa pasukannya itu berhak memenangi perlawanan tersebut, tetapi jurulatih itu tidak berasa kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak didiknya itu.
Dalam perlawanan genting tersebut, kedua-dua pasukan gagal melakukan sebarang jaringan sebelum kemenangan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi tendangan penalti.
"Kami tidak bermain bola sepak dengan hebat, begitu juga dengan Itali yang tidak mampu menghasilkan gol ke atas kami. Sepanyol mempunyai tiga peluang terbaik untuk menjaringkan gol," kata Aragones.
Pemain sayap Sepanyol, David Silva mempunyai dua peluang menjaringkan gol pada separuh masa pertama dan satu lagi peluang ketika perlawanan memasuki masa tambahan.
Selain itu, Sepanyol hampir memperoleh gol menerusi Marcos Senna apabila pemain itu melakukan percubaan deras jarak jauh di minit 81 dan menyaksikan penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon berkerja keras menyelamatkan percubaan itu.
"Rentak perlawanan adalah perlahan. Namun, jika kami boleh menggerakkan bola dengan lebih pantas, kami mungkin memperoleh lebih banyak peluang menjaringkan gol," kata Aragones.
Sepanyol kini mencipta sebanyak 20 perlawanan tanpa ditewaskan dan menjangka mendapat tentangan sengit dari Rusia di peringkat separuh akhir.
Perlawanan itu akan menjadi pertemuan semula kedua-dua pasukan di Euro 2008, setelah Sepanyol berjaya menewaskan pasukan bimbingan Guus Hiddink 4-1 di peringkat kumpulan.
"Pertemuan kali ini akan menjadi lebih sukar berbanding perlawanan pertama. Pasukan dari kumpulan ini (Kumpulan D) telah membuktikan kehebatan apabila salah satunya mara ke pusingan final," kata Aragones.
Perlawanan suku akhir antara Sepanyol dan Itali di Vienna itu merupakan perlawanan kompetitif pertama untuk kedua-dua pasukan sejak Piala Dunia 1994.
Itali memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 2-1 apabila Roberto Baggio melakukan jaringan lewat bagi membawa pasukan juara dunia itu mara ke separuh akhir.
Sepanyol pastinya masih mengingati kejadian yang berlaku pada perlawanan tersebut apabila pemain pertahanan Itali, Mauro Tassotti mematahkan hidung penyerang Sepanyol, Luis Enrique pada masa kecederaan.
- AP

Belanda tewas di suku akhir

Belanda tewas di suku akhir
PEMAIN Rusia, Roman Pavlyuchenko (kanan) berjaya menyumbat gol pembukaan yang hanya dapat diperhatikan oleh penjaga gawang Belanda, Edwin van Der Sar (kiri) pada pertemuan suku akhir Euro 2008 di Stadium Jakob Park, Basel awal pagi semalam. Rusia menang 3-1.- Reuters

Kejutan Kremlin

PEMAIN Rusia, Roman Pavlyuchenko (kanan) berjaya menyumbat gol pembukaan yang hanya dapat diperhatikan oleh penjaga gawang Belanda, Edwin van Der Sar (kiri) pada pertemuan suku akhir Euro 2008 di Stadium Jakob Park, Basel awal pagi semalam. Rusia menang 3-1.- Reuters
BASEL - Rusia menjadi negara yang tidak diduga merebut tempat ke pusingan separuh akhir Euro 2008 apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Belanda pada masa tambahan, kelmarin.
Rusia yang menggunakan jurulatih dari Belanda, Guus Hiddink, mengambil kesempatan daripada keletihan pihak lawan untuk melakukan jaringan lewat menerusi pemain gantian, Dmitry Torbinsky dan pemain perancang, Andrei Arshavin, setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar.
Di peringkat separuh akhir, Rusia akan berhadapan pemenang peringkat suku akhir antara Itali dan Sepanyol.
Rusia mendahului perlawanan menerusi jaringan Roman Pavlyuchenko selepas 11 minit perlawanan separuh masa kedua.
Ketika Rusia hampir meraikan kemenangan, Ruud van Nistelrooy menanduk masuk gol untuk Belanda, empat minit sebelum masa perlawanan sebenar berakhir.
Namun begitu, Rusia menguasai permainan apabila masa tambahan diberikan.
"Secara teknikalnya saya fikir, kami adalah lebih baik dan mempunyai taktikal yang berjaya mengisi ruang yang seharusnya kami penuhi. Secara mentalnya pula, saya harus memberi pujian besar kepada pasukan bimbingan saya. Selepas kami membenarkan Belanda mendapat gol penyamaan, pemain memberi reaksi yang mengagumkan.
"Selalunya apabila bertemu dengan pasukan yang baik, ia akan berakhir. Tetapi ia tidak menjadi seperti itu dan kami memberi tindak balas yang hebat," kata Hiddink.
Berhadapan dengan Belanda yang mempunyai rekod cemerlang di peringkat kumpulan tidak memberi tekanan kepada Rusia dan pasukan itu sama sekali tidak mahu beraksi sebagai sebuah pasukan bukan pilihan.
Belanda yang banyak menghasilkan peluang pada perlawanan tersebut bagaimanapun tidak berjaya menterjemahkannya untuk menghasilkan gol dan perlawanan tersebut mirip kepada nasib yang menimpa ke atas Itali serta Perancis dalam dua perlawanan awal.
Oranje terpaksa membayar harga yang mahal hasil daripada kelalaian tersebut dan terkeluar daripada persaingan.
Kesilapan pemain penyerang, terutamanya Ruud van Nistelrooy yang mempunyai peluang menjaringkan gol, setelah Pavlyuchenko membuka peluang kepadanya untuk menjaringkan gol.
Ketika perlawanan hampir ke penghujung dan peminat-peminat Belanda mula untuk beredar meninggalkan stadium, Van Nistelrooy akhirnya menebus kesalahan dengan menjaringkan gol penyamaan.
Van Nistelrooy berjaya menanduk masuk dari jarak jauh, hasil hantaran daripada sepakan percuma yang diambil oleh Wesley Sneijder ketika perlawanan sebenar berbaki empat minit untuk tamat. Gol tersebut memberi harapan kepada Belanda untuk beraksi pada masa tambahan.
Ketika masa perlawanan diberhentikan bagi menunggu perlawanan separuh masa kedua dilangsungkan, berlaku kontroversi yang melibatkan pergaduhan antara pemain pertahanan tengah Rusia, Denis Kolodin dan Wesley Sneijder di tepi padang.
Pengadil melayangkan kad kuning kepada Kolodin dan kemudiannya kad merah. Namun, setelah berbincang dengan penjaga garisan, pengadil menarik balik keputusannya dan membenarkan pemain pertahanan Rusia itu untuk berada dalam padang.
Belanda mempunyai masa selama 30 minit bagi berusaha memecah tembok pertahanan Rusia, tetapi mereka gagal melaksanakannya dan dilihat seperti terlalu letih untuk melakukannya.
Meskipun para pemain utama Belanda direhatkan ketika bertemu Romania di peringkat kumpulan, pasukan Oranje itu seperti hilang arah pada masa tambahan.
"Kami tidak mengawal perlawanan tersebut. Rusia menjadikannya begitu sukar kepada kami. Kami mempunyai masalah fizikal. Pemain-pemain tidak boleh bertahan sehingga ke akhir perlawanan," kata jurulatih Belanda, Marco van Basten.
Pasukan bimbingan Hiddink tidak bernasib baik pada minit ke-97 apabila percubaan Pavlyuchenko terkena palang namun gol minit 116 berjaya menewaskan penjaga gol Belanda, Van der Sar.
- Reuters

Kesilapan Ronaldo hampakan Portugal

BASEL, Switzerland - Portugal mampu menggunakan sedikit pertahanan daripada pemain serangan paling menarik di dunia dalam suku akhir Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) menentang Jerman, kelmarin.
Cristiano Ronaldo terperangkap sekadar melihat pada minit ke-26 apabila penyerang Jerman, Miroslav Klose melonjak lebih tinggi untuk menanduk masuk gol kedua daripada sepakan bebas Bastian Schweinsteiger ketika Jerman menang 3-2 ke atas Portugal.
Sayap berusia 23 tahun itu menggapai dan mengangkat lengannya.
Tidak jelas sama ada dia marah dengan rakan sepasukan atau dirinya.
Dalam apa yang digelar sebagai pertempuran antara Ronaldo dan musuh Liga Perdananya, Michael Ballack, pemain Manchester United itu pastinya yang lebih menonjol. Namun Portugal pasti boleh menggunakan permainan dua cara pemain tengah Chelsea itu.
Ballack mengejar bola sepanjang perlawanan, mencipta halangan utama terhadap sepakan bebas Portugal sejurus selepas gol Klose. Dia turut memainkan satu peranan dalam membawa Jerman mendahului, mengirim bola ke sebelah kiri kepada Lukas Podolski yang lintangan rendahnya ditolak masuk sisi kaki Schweinsteiger dari jarak dekat.
Kemudian, dengan penguasaan Portugal pada awal babak kedua dan tampak bersedia menyamakan kedudukan, Ballack, 31, melonjak mengatasi benteng Paulo Ferreira untuk menjaringkan gol daripada satu lagi sepakan bebas daripada Schweinsteiger. Ronaldo dikawal kali ini tetapi tidak menjadi hal.
Kemenangan itu pasti manis buat Ballack apabila pasukannya, Chelsea diatasi Manchester United bagi gelaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Namun Ronaldo meraih perhatian, membolosi benteng Jerman pada minit ke-40 dan memaksa penjaga gol Jens Lehmann menyelamatkan dengan baik. Penyerang Nuno Gomes mengutip lantunan itu dan menjaringkannya, menghidupkan semula Portugal.
Namun ketika gol itu mengembalikan aksi Ronaldo, dia memulakan babak kedua dengan lebih lakonan, berguling seperti kesakitan selepas Arne Freidrich tidak sengaja memijak kakinya. Pada satu ketika lain, dia mengulanginya ketika berjalan sekitar tengah padang.
Dia bergerak lebih ke peranan serangan tengah selepas jurulatih Luiz Felipe Scolari menggantikan ketua pasukan, Nuno Gomes dengan Nani tetapi nasibnya tidak berubah. Dia menghantar sepakan bebas minit ke-68 ke tempat penonton dan kurang menyentuh bola dalam minit terakhir, biarpun selepas tandukan lewat Helder Postiga merapatkan jurang semula dengan satu gol.
Dengan satu kemungkinan perpindahan ke Real Madrid masih terawang, perhatian Ronaldo terganggu. Dia menolak khabar angin berhubung perpindahan luar musim yang bernilai berjuta-juta euro.
Scolari telah mengesahkan dia akan mengambil alih pengurus Chelsea, di mana dia tahu bahawa dia akan memiliki seorang pemain tengah yang boleh diharapkannya dalam usaha keras ketika bertahan.
Dia akan memiliki Ballack.
- AP

Sepanyol mara ke suku akhir

ARKIB : 20/06/2008
-->
Sepanyol mara ke suku akhir
PEMAIN Sepanyol, Ruben de la Red (dua dari kiri) menyumbat gol pertama pasukannya mengalahkan penjaga gol Greece, Antonis Nikopolidis pada perlawanan akhir Kumpulan D Euro 2008 di Salzburg, Austria, kelmarin.- AP
SALZBURG, Austria - Di sebalik rekod buruk menentang Itali, jurulatih Sepanyol, Luis Aragones menafikan pasukannya ditemukan lawan yang mungkin paling mencabar dalam suku akhir Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2008.
Aragones bercakap selepas pasukannya meraih kemenangan kesembilan berturut-turut pada kejohanan ini, 2-1 ke atas Greece yang menyamai rekod pasukan kebangsaan antara 1924 hingga 1927.
Andreas Charisteas memberikan juara bertahan gol pendahuluan babak pertama tetapi Sepanyol bangkit semula selepas rehat dengan Ruben De la Red menyamakannya sebelum Daniel Guiza menanduk masuk gol kemenangan minit ke-88.
Menanti berikutnya, juara dunia, Itali di Vienna, Ahad ini dan walaupun Sepanyol lebih menyerlah setakat ini, mereka dikenali kerana sering kecundang apabila tiba di penghujung.
"Yang jelas, kami menghadapi juara dunia, sebenarnya juara dunia empat kali dan mereka pernah ke perlawanan akhir (Euro) dua kali," kata Aragones.
"Mungkin ya, merekalah lawan suku akhir paling mencabar tetapi pada Piala Dunia, Perancis juga sebuah pasukan yang mencabar.
"Saya tidak tahu jika ini lebih sukar daripada pasukan lain kerana sebarang pasukan dalam suku akhir pasti sukar dan separuh akhir, lebih sukar," katanya.
Dua tahun lalu di Jerman, Sepanyol turut memenangi peringkat kumpulan dengan rekod 100 peratus tetapi gagal menyerlah menentang Perancis dalam pusingan kedua dan kecundang 3-1.
Itali bagaimanapun bakal tanpa pemain tengah utama, Andrea Pirlo dan Gennaro Gattuso - kedua-duanya digantung - bagi perlawanan itu.
"Mereka pemain yang amat penting bagi Azzurri, Pirlo dan Gattuso, tetapi mana-mana daripada 23 pemain mereka mampu memainkan peranan (pemain tengah bertahan)," kata Aragones.
"Saya akan berharap mereka tidak mendapat kad kuning kerana saya tahu sesiapa sahaja yang akan bermain, memang bagus," katanya.
Aragones merehatkan 10 pemain daripada kesebelasan utamanya menentang Greece dan hanya satu pemain tetap utama - Andres Iniesta - bermain cuma 50 minit sebelum dia digantikan.
"Ini satu kelebihan kerana pemain kami penat sedikit, terutamanya mereka yang banyak bermain," kata jurulatih itu.
"Kesemua yang sudah layak (sebelum perlawanan terakhir mereka) melakukannya - Portugal melakukannya - kerana persaingan amat sengit dan apabila anda memasuki separuh akhir, cuma ada rehat tiga hari yang bererti pemain perlukan pemulihan yang amat baik," katanya.
Jurulatih Greece dari Jerman, Otto Rehhagel berkata, dia tidak menyesal mengenai bagaimana kejohanan ini berakhir buat pasukannya.
Mereka gagal menandingi pencapaian empat tahun lalu di Portugal di mana mereka menewaskan tuan rumah 1-0 dalam perlawanan akhir, kalah ketiga-tiga perlawanan kumpulan mereka kali ini.
"Sepanyol memiliki pemain yang cemerlang, mereka sentiasa memiliki pemain yang hebat dan Sweden juga hebat jadi saya tidak fikir kami wajar malu kerana tidak menang," katanya.
"Kami telah katakan kami mahu melihat bagaimana pencapaian kami pada Euro, kami tidak pernah kata akan menang 3-0 ke atas Rusia, 4-0 ke atas Sweden dan 5-0 ke atas Sepanyol," katanya.
Jika dia masih mempunyai satu kekesalan, ia berkaitan gagalnya Greece mempertahankan gol pendahuluan kelmarin.
"Yang jelas, saya kecewa kerana kami mendahului 1-0 tetapi tidak mampu mempertahankannya," kata Rehhagel.
"Saya fikir pada 1-1, kami mampu pergi kepada 2-1 tetapi seperti saya katakan sebelumnya, kami mendapatinya sukar menjaringkan gol," katanya.
- AFP

Penjaga gol Turkey jadi wira

Penjaga gol Turkey jadi wira

Italy seri dengan Romania

Italy seri dengan Romania
TONGGAK pertahanan Itali, Christian Panucci (dua dari kiri) cekap menolak bola masuk ke gawang Romania untuk gol penyamaan dalam saingan Kumpulan C, Euro 2008 di Zurich, pagi tadi. – AFP

Romania buat Itali sengsara

Romania buat Itali sengsara
TONGGAK pertahanan Itali, Christian Panucci (dua dari kiri) cekap menolak bola masuk ke gawang Romania untuk gol penyamaan dalam saingan Kumpulan C, Euro 2008 di Zurich, pagi tadi. – AFP
ZURICH, Switzerland – Romania menyukarkan laluan Itali untuk ke suku akhir apabila mengikat juara dunia itu dengan keputusan seri 1-1 pada perlawanan menarik, rancak dan terbuka Kumpulan C Kejohanan Bolasepak Eropah (Euro) 2008, semalam.
Keputusan itu meletakkan Itali tiada pilihan selain perlu menang perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Perancis, begitu juga Romania yang akan bertemu Belanda.
Itali bagaimanapun perlu berterima kasih kepada penjaga golnya, Gianluigi Buffon yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti Adrian Mutu pada minit ke-80 bagi mengelakkan pasukan itu kalah dan tersingkir terus daripada suku akhir.
Malang bagi Itali apabila satu jaringan mereka dibatalkan manakala belasan peluang yang hadir gagal diterjemahkan kepada gol.
Itali sepatutnya mendahului sebelum rehat tetapi jaringan Luca Toni dibatalkan kerana ofsaid walaupun rakaman ulang tayang membuktikan sebaliknya.
Romania turut mencipta beberapa peluang di babak pertama termasuk percubaan Cristian Chivu yang tertampan pemain Itali sebelum terkena tiang gol.
Begitu juga dengan percubaan Mutu yang berjaya melepasi perangkap ofsaid dan hanya berdepan satu dengan satu tetapi diselamatkan Buffon.
Perlawanan bertambah rancak pada babak kedua apabila kedua-dua pasukan saling bertukar serangan untuk mencari gol.
Selepas 10 minit permainan bersambung, Romania lebih dulu membuka jaringan apabila Gianluca Zambrotta menanduk bola ke arah Buffon tetapi tandukan ke belakangnya itu disambut Mutu yang pantas bertindak untuk menggegar jaring.
Bagaimanapun gol pendahuluan itu hanya bertahan seminit sahaja apabila Itali menyamakan kedudukan menerusi Cristian Panucci yang menyambut bola tandukan Luca Toni di depan gol.
Saingan tidak terhenti di situ sahaja dengan asakan dan gerakan terus diatur terutama Itali yang begitu memerlukan kemenangan.
Selepas Mutu gagal menyepak masuk sepakan penalti, Itali jelas menarik nafas lega sebaik wisel penamat dibunyikan

Tewas

Tewas

Croatia benam Jerman 2-1

ARKIB : 13/06/2008
-->
Croatia benam Jerman 2-1
TONGGAK tengah Croatia, Darijo Srna (kiri) merembat bola untuk gol pertama pasukannya selepas menewaskan penjaga gol Jerman, Jens Lehmann dalam saingan Kumpulan B, Euro 2008 di Klagenfurt, pagi tadi. – AP
KLAGENFURT, Austria – Croatia mengejutkan juara tiga kali, Jerman 2-1 untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Eropah (2008), sekali gus menyamai pencapaian terbaiknya pada 1996.
Jaringan Darijo Srna dan Ivica Olic membawa Croatia menjadi pasukan kedua selepas Portugal mara ke peringkat lapan terbaik dan meneruskan reputasi sebagai ‘pembunuh gergasi’.
Malah tambah memburukkan lagi keadaan, Jerman terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas pemain tengahnya, Bastian Schweinsteiger dilayangkan kad merah ketika saingan memasuk masa kecederaan.
Croatia merupakan pasukan yang bertanggungjawab memusnahkan harapan England untuk beraksi di Euro 2008 selepas menundukkan pasukan itu dalam dua perlawanan mereka di pusingan kelayakan.
Ini merupakan kemenangan kedua mereka selepas menundukkan tuan rumah, Austria 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B.
Walaupun Jerman, juara 1996, 1980 dan 1972 mengawal sebahagian besar permainan, namun Croatia, yang hanya memiliki pencapaian terbaik layak ke suku akhir pada Euro 1996 terlebih dulu membuka jaringan.
Selepas menyambut hantaran silang Danijel Pranjic dari kiri pintu gol, Srna menewaskan pertahanan Jerman, Marcell Jansen sebelum melakukan tolakan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol, Jens Lehmann.
Jerman terdahulu memperoleh peluang membuka jaringan menerusi bintang penyerang, Lukas Podolski pada minit ke-10 tetapi sepakan pemain itu berjaya ditepis penjaga gol, Stipe Pletikosa.
Pada minit ke-22, Jerman berjaya menembusi gawang Croatia, namun jaringan penyerang Mario Gomez itu dibatalkan oleh pengadil kerana sudah berada dalam posisi ofsaid.
Dua minit kemudian, Pranjic yang tidak dikawal melakukan hantaran cantik kepada Srna dari kiri gol Jerman, meskipun terjatuh di depan pintu gol, Srna sempat menolak bola untuk menewaskan Lehman.
Ketinggalan 1-0 memaksa Jerman menggandakan asakan sebaik memasuki babak kedua dan Podolski hampir menjaringkan gol penyamaan selepas menyambut sepakan sudut di minit ke-47, namun tandukannya diselamatkan pertahanan Croatia.
Biarpun kerap diasak, namun Croatia, yang memiliki sentuhan Jerman, di mana tiga tonggak utamanya - Niko Kranjcar, Robert Kovac dan Ivan Klasnic dilahirkan di Jerman berjaya memanfaatkan peluang yang sesekali diperoleh.
Pada minit ke-62, Olic melebarkan kedudukan 2-0 apabila merembat bola yang jatuh ke kakinya selepas terkena siku pertahanan lawan.
Podolski menghidupkan harapan Jerman dengan merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-79 menerusi rembatan kaki kiri, namun jaringan itu tidak mampu menyekat Croatia dari meraikan kemenangan.
– Agensi

Wednesday, June 25, 2008